Oleh : Hajah Siti Zuraihah Awang Haji Sulaiman / Foto : Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman
SERDANG, Jumaat, 29 Mei. - Ibadah korban adalah antara amalan yang sangat dituntut dalam Islam dan mempunyai banyak hikmah antaranya ialah sebagai tanda syukur kepada Allah Subhanahu Wata'ala terhadap nikmat dan rezeki yang dikurniakan-Nya dan juga merupakan antara jalan untuk mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu Wata'ala.
Sehubungan itu, Jawatankuasa Takmir Masjid Serdang mengadakan Majlis Ibadah Korban bagi Tahun 1447 Hijrah bersamaan 2026 Masihi bertempat di Masjid Serdang, hari ini. Pada majlis tersebut, sebanyak tiga ekor kerbau telah dikorbankan dengan penyertaan seramai 21 peserta korban.
Daging-daging korban kemudiannya diagihkan kepada 31 penerima dalam kalangan asnaf fakir miskin yang terdiri daripada penduduk Kampung Sungai Belukut, Kampung Serdang dan Kampung Sungai Matan.
Pengagihan daging korban disempurnakan oleh Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan.
Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Pemangku Pengarah Hal Ehwal Masjid, Awang Haji Amir Hisham bin Haji Masri serta Penghulu Mukim Kota Batu, Awang Rasli bin Taram selaku penaung bersama Jawatankuasa Takmir Masjid Serdang.
Majlis tersebut diadakan sebagai salah satu usaha memperkukuhkan semangat kebersamaan, perpaduan dan sikap saling bantu-membantu dalam kalangan masyarakat di samping menghayati pengertian sebenar ibadah korban.